CERITERA BAHASA MELAYU

bahasa jiwa bangsa…

Bahasa ‘Melayu’ lwn Bahasa ‘Malaysia’

Dulu bahasa Melayu, sekarang bahasa Malaysia. Yang mana satu betul? Mengapa sekejap ‘Melayu’ sekejap ‘Malaysia’? Persoalan itu sampai sekarang masih tidak berkesudahan. Ada yang sokong, ada yang marah dan ada juga yang buat tak peduli. Apa-apapun, kita harus kembali kepada sejarah bahasa itu sendiri. Telah tercatat dalam pelbagai medium sejarah, sama ada pada batu bersurat, catatan sejarah, surat-menyurat, kitab-kitab, atau sebagainya tentang salasilah ‘Melayu’ itu. Perjuangan ahli bahasa terdahulu juga tidak harus dilupakan. Sorotilah perjuangan mereka melalui pelbagai pertubuhan, terutamanya dalam ASAS 50 sehingga berjaya mengangkat bahasa ‘Melayu’ sebagai bahasa kebangsaan dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152). Bahasa ‘Melayu’ turut dijadikan sebagai bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Tidak dapat disangkal lagi bahawa bahasa ‘Melayu’ secara jelas disebut sama ada dalam Perkara 152 atau dalam Akta Bahasa Kebangsaan, dan bukannya bahasa ‘Malaysia’. Walau apa-apapun alasannya, perkataan ‘Melayu’ tidak harus ditukar. Bukankah wujudnya sesuatu bangsa itu kerana bahasanya? Mengapa selepas lebih 50 tahun kita merdeka, kita masih lagi takut-takut dengan identiti kita sendiri? Tidak layakkah bahasa ‘Melayu’ itu diangkat dan disebut-sebut? Kalau bukan kita sendiri yang mengagung-agungkan bahasa ‘Melayu’, adakah bangsa lain yang akan kita harapkan? Tepuk dada tanyalah akal…

16/04/2010 Posted by | Pelbagai | Tinggalkan komen

BICARA BAHASA

Bahasa Melayu. Di mana letak duduknya bahasa ini di mata bangsanya? Di bibir, di hati, atau di telapak kaki? Atau mungkin jua hanya menjadi ‘tugu’ yang hanya dlihat untuk mengenang kembali bahawa ‘aku’ bangsa Melayu? Yang pasti, bahasa Melayu sekarang hanya hadir di celah-celah kangkang tuturan bahasa asing yang terbit dari mulut Melayu…Masih adakah lagi keranda 152???

08/04/2010 Posted by | Pelbagai | Tinggalkan komen