CERITERA BAHASA MELAYU

bahasa jiwa bangsa…

Artikel Bahasa

Bahasa Rojak dan Karisma Penutur

SEMINAR BAHASA ROJAK: KECELARUAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bersama dengan Persatuan Bahasa Moden Malaysia
18 – 19 Julai 2007

Abdullah Hassan, Ph.D.
Profesor Emeritus,
Fakulti Bahasa
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Abstrak

Gaya komunikasi ditentukan oleh konsep diri. Konsep diri berkait rapat dengan karisma. Oleh itu kita dapat menentukan karisma pengguna bahasa kacukan.

Kata kunci: bahasa tinggi, bahasa rendah, bahasa kacukan, gaya komunikasi, konsep diri, sombong bahasa, gangguan sistem, karisma.

Konsep Diri (Self-Concept)

Bahasa yang kita gunakan dalam berkomunikasi mencerminkan diri kita. Gaya kita berbahasa bergantung rapat dengan bagaimana kita melihat diri kita sendiri, dan bagaimana kita membaca atau mempersepsi dunia dan penutur lain di sekeliling kita. Inilah yang dikatakan konsep diri kita. Apabila kita melihat diri kita sebagai seorang terpelajar, maka dengan sendirinya kita mengawal bahasa yang kita gunakan bagi mencerminkan citra diri kita. Apabila kita kurang memahami iklim komunikasi di sekeliling kita, maka kita tidak akan memberi pengiktirafan kepada faktor-faktor di sekeliling kita tersebut.

Namun, apabila menggunakan bahasa Melayu, kita mungkin mendapati ada penutur bahasa Melayu yang tidak menyedari hakikat ini. Kita mendengar penutur bahasa Melayu menggunakan bahasa yang rendah. Bahasanya bercampur aduk, iaitu bahasa Melayu dengan Inggeris. Percampuran itu dilakukan pada setiap peringkat penguasaan bahasa: sebutan, ejaan, imbuhan, frasa, ayat, kosa kata, makna dan peribahasa. Lakuan bahasa begini sering berlaku di kalangan penutur asli bahasa Melayu. Fenomena begini dapat dianalisis pada peringkat lakuan luaran, yakni daripada yang dapat didengar dan bibaca. Ini dilakukan dalam bentuk apa yang dicampurkan, di mana dilakukan dan apa sebabnya.

Pun begitu kita perlu juga mengetahui proses psikologi yang berlaku dalam diri penutur yang mempamerkan lakuan bahasa begini. Setiap lakuan yang kita pamerkan adalah didahului oleh kesimpulan yang dibuat terhadap iklim komunikasi yang terlibat. Artikel ini akan melihat aspek ini.

Lakuan bahasa begini tidak dilakukan oleh bukan penutur bahasa asli, yakni bukan penutur bahasa Melayu. Penutur yang bukan penutur asli bahasa Melayu belajar bahasa Melayu secara bahasa kedua secara formal. Oleh sebab itu, bahasa yang mereka tuturkan adalah mematuhi aturan tatabahasa. Tetapi, penutur asli bahasa Melayu sering tidak mematuhi aturan tatabahasa yang lengkap.

Fenomena ini ada kaitan dengan konsep diri penutur bahasa Melayu. Apakah agaknya konsep diri penutur Melayu yang menggunakan bahasa Melayu kacukan ini? Kemungkinannya penutur asli bahasa Melayu ini tidak pun sedar tentang konsep diri yang mereka pamerkan.

Bahasa Tinggi dan Rendah

Bagi membolehkan kita membuat analisis ringkas terhadapa bahasa Melayu yang digunakan maka kita lihat dahulu ciri-ciri bahasa. Apakah ciri-ciri bahasa Melayu tinggi dan apakah ciri-ciri bahasa Melayu rendah. Bahasa Melayu tinggi ialah bahasa yang mempunyai ciri-ciri tatabahasa yang lengkap. Ini bermaksud:

a. ayat-ayat yang digunakan adalah lengkap dari segi tatabahasa, ada subjek dan predikat, penerangnya pada tempat yang menunjukkan hubungan sintaktik yang betul.
b. Menggunakan imbuhan dengan lengkap. Imbuhan kata kerja transitif per-, -kan dan –i selenkapnya. Imbuhan yang menunjukkan bangun ayat, iaitu me-, di-, ter- dan ber- selengkapnya. Imbuhan kata nama bagi menunjukkan makna yang berbeza selengkapnya, iaitu pen- (alat dan agen), pen- … –an (proses), per- … –an (hasil dan tempat), ke- … –an (abtrak), -an (hasil), dll.
c. Menggunakan kosa kata yang terdiri daripada kata-kata konsep tinggi, kata yang lebih canggih bentuk dan maknanya.
d. Ganti nama yang lebih sopan dan menghormati orang lain seperti beliau, mereka, saya, dll. (dan bukan Ai, Yu, dia orang, lu, dll.)
e. Tanda baca yang lengkap
f. Mengungkapkan konsep, ilmu dan budaya tinggi
g. Bahasa orang terpelajar.

Bahasa Melayu tinggi adalah bertentangan dengan bahasa Melayu Rendah. Yang utama ialah, konteks penggunaan bahasa Melayu tinggi adalah berbeza daripada bahasa Melayu rendah. Bahasa Melayu baku adalah bahasa Melayu tinggi. Bahasa Melayu kacukan adalah bahasa Melayu rendah. Bahasa Melayu tinggi digunakan dalam konteks mengungkapkan budaya ilmu dan budaya tinggi. Ini adalah bertentangan daripada konteks bahasa Melayu rendah yang digunakan bagi konteks berjual beli dan interaksi sosial rendah yang terhad.

Konteks fizikal sangat menentukan taraf bahasa yang digunakan. Umpamanya, di dalam mahkamah, kita akan dengan sendirinya terpaksa menggunakan bahasa Melayu tinggi. Bahasa Melayu rendah seperti bahasa pasar tidak akn digunakan. Dalam mesyuarat, kita dengan sendiri memilih-milih perkataan dan ayat yang sesuai bagi mengungkapkan sesuatu idea, dan tidak mengeluarkan kata-kata sembarangan.

Kesan yang paling penting akibat menggunakan bahasa Melayu rendah ini ialah kita akan kelihatan tidak serius. Orang yang tidak menyusun perkara yang mahu diungkapkan dengan matang. Orang bercakap dengan tidak berfikir secara mendalam.

Oleh yang demikian, kita dapat membuat beberapa andaian yang berasas bagi menganalisis konsep diri penutur asli bahasa Melayu yang menggunakan bahasa Melayu rendah atau bahasa kacukan ini.

a. Penguasaan bahasa Melayu baku yang tidak lengkap ”sekerat belut sekerat ular,”
b. Menganggap diri mereka sudah mahir menggunakan bahasa demikian
c. Menganggap orang lain juga seperti mereka (down-levelling), merendahkan taraf orang
d. Tidak memperdulikan kesan kepada pendengar
e. Penguasaan ilmu yang meragukan …
f. Main-main dan tidak serius.
g. Tidak terpelajar

Iklim Bahasa Kacukan: Contoh Penggunaan Bahasa Rendah (Pasar) Dalam Majlis Rasmi

Pada masa ini, ada kecenderungan pengacara televisyen dan radio menggunakan bahasa pasar, iaitu bahasa campuran.

a. ayatnya mungkin terdiri daripada bahasa lain daripada bahasa Melayu
b. struktur ayat tidak lengkap
c. imbuhan tidak digunakan, yang digunakan tidak mematuhi rumus tatabahasa
d. ganti nama dipinjam daripada Inggeris atau bahasa lain
e. kata-kata tidak signifikan (seperti istilah) pun dipinjam, proses peminjaman tidak menentu
f. kosa kata terdiri daripada kata-kata rendah dan bercampur
g. digunakan dalam konteks rendah, interaksi sosial yang rendah.

Ada kalanya bahasa ini juga berupa bahasa slanga yang dituturkan oleh remaja. Walaupun bahasa ini ternyata dapat mengkomunikasikan mesej, tetapi bahasa begini bukanlah bahasa budaya tinggi. Bahasa begini tidak rapi, bercampur-aduk, banyak menggunakan bahasa slanga. Ini adalah bahasa rendah yang hanya mampu mengungkapkan budaya rendah. Bahasa begini tidak sepatutnya menjadi bahasa yang digunakan melalui saluran rasmi pemerintah seperti radio dan televisyen.

Seorang artis wanita mencuba menarik minat penonton supaya menikmati rancangannya. Walau bagaimanapun, artis yang juga menjadi pengacara majlis di televisyen itu tidak mengiktiraf taraf formal sesuatu majlis yang ditayangkan di televisyen itu.

Dialog 1

Pengacara sebuah rancangan kelab remaja di televisyen mengeluarkan ungkapan seperti berikut.

Pengacara: Masa cuti lalu I … berserta kru televisyen … we all buat syuting di … Harap you all akan menonton apa yang we all sediakan untuk you all …

Dialog 2

Seorang artis wanita mengiklankan segmen muziknya untuk penonton. Bahasa artis tersebut adalah seperti berikut:

Artis: I sudah rakamkan empat buah album untuk you all. You all mesti dengar lagu-lagu I. I akan pilih lagu-lagu yang menarik spesiali untuk you … Penerbit I dan member kru telivisyen … they all telah menyediakan rancangan spesyel untuk you all. We all telah bekerja keras untuk you all.

Dialog 3

Pengguna bahasa pasar mudah menyamatarafkan semua orang dengan tarafnya sendiri (Kampung Baru, Ogos 1997)

Pelayan: You nak makan apa? You seleklah makan dari meja tu, you ambiklah apa you nak. Kemudian you bawak kat I, I kira bagi kat you.
Pelanggan: Cik puan, panggillah pelanggan ‘cik’ … ‘encik’ dan ‘puan.’ Itu panggilan hormat.
Pelayan: You tak suka tak pa …we all tak pernah dengar orang komplen pun ….

Dialog 4

Dalam sebuah pasaraya, pembawa majlisnya sangat aktif. Namun bahasa yang digunakannya adalah bahasa budaya rendah.

Pembawa acara: Mari pak long pak long, mak long mak long, mari …..
Pelanggan: Apa yang dibuatnya, tu?

Sebenarnya pembawa acara dalam siaraya bangunan, tidak menggunakan bahasa baku dan bahasa rasmi. Bahasanya adalah bahasa pasar.

Analisis
Bahasa pasar ialah bahasa yang menggunakan struktur ayat Melayu tetapi perkataan campuran dengan perkataan bahasa pinjaman. Yang paling ketara ialah bahasa pasar menggunakan kata ganti nama asing, iaitu I, you, we all, you all, they all, gua, lu, gua semua, lu semua, dia orang, semua orang, lu orang, kita orang, aya, ane, bai, dll.

Bahasa pasar adalah bahasa orang tidak terpelajar. Atau, digunakan oleh orang terpelajar kepada orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapi dan bahasa rasmi. Ini bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas, dll. Dalam rancangan rasmi melalui televisyen ke seluruh negara, bahasa pasar tidak wajar digunakan. Menggunakan bahasa pasar ini sangat merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:

1. Budaya Melayu memerlukan bahasa yang rapi digunakan dalam suasana rasmi. Bahasa pasar ini tidak ada tempat dalam majlis rasmi.
2. Menggunakan ganti nama bahasa pasar kepada orang datang daripada budaya rendah. Budaya tinggi menuntut bahasa yang rapi.
3. Dengan mengeyou-youkan penonton, pengacara menurunkan semua orang ke taraf mat dan minah rock sahaja.
4. Televisyen adalah saluran rasmi. Bahasa pasar dan bahasa campur-aduk tidak ada tempat dalam saluran rasmi.
5. Tidak menggunakan neka bahasa baku. Dalam suasana rasmi, perkataan dan sebutan pun mesti rasmi, iaitu bahasa baku.
6. Bahasa pasar tidak ada kehalusannya, peri laku penutur bahasa pasar juga akan menjadi kasar dan sumbang. Apabila kita menggunakan bahasa berbudaya tinggi, kita tidak tergamak berkelakuan kasar dengan pelanggan.

Apabila pelayan menggunakan ganti nama you kepada pelanggan, pelanggan merasa tidak dihormati. Malah dia merasakan dia disamakan dengan pelayan remaja yang menyebut dirinya I. Pada pihak pelayan pula, apabila dia menggunakan kata ganti nama you kepada semua pelanggan, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu dia telah berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting. Tanpa pelanggan perniagaan kita tidak ada. Oleh sebab itu pelanggan adalah bertaraf lebih tinggi daripada pelayan. Kita tidak boleh merendahkan mereka dengan mengeyou-youkan mereka. Elakkan perbalahan dengan pelanggan. Ini akan dapat kita buat dengan memanggil mereka Encik, Tuan, Puan, Cik dan Cik Puan. Gugurkan sama sekali ganti nama you dan I.

Apabila kita mahu menggunkan bahasa tinggi buanglah ganti nama pinjanan. Gunakan ganti nama hormat, iaitu: Tuan, Puan, Encik, Cik, para penonton, para pendengar, para peminat, barulah perilaku penutur juga turut berubah.

Bahasa yang berbudi Bahasa

Dialog 1

Pengacara kelab remaja.

Pengacara: Masa cuti lalu saya berserta kru televisyen. Kami membuat penggambaran di (…) Saya harapkan saudara semua akan menonton apa yang kami sediakan untuk saudara semua.

Dialog 2

Dialog yang sudah dibaiki adalah seperti berikut:

Artis: Saya sudah rakamkan empat buah album untuk saudara semua. Saudara semua mesti mendengar lagu-lagu saya. Saya akan pilih lagu-lagu yang menarik spesiali untuk saudara semua. Penerbit saya dan ahli kru telivisyen kami, semuanya telah menyediakan rancangan spesel untuk yaudara semua. Kami telah bekerja keras untuk saudara semua.

Dialog 3

Dialog yang sudah dibaiki)

Pelayan: Tuan-tuan dan Puan-puan hendak makan apa? Tuan-tuan dan puan-puan bolehlah memilih makanan dari atas meja itu. Tuan-tuan dan Puan-puan bolehlah mengambil apa makanan yang dikehendaki. Kemudian, bawalah kepada saya, saya kira untuk Tuan-tuan dan Puan-puau.
Pelanggan: Cik puan, panggillah pelanggan ‘cik’ … ‘encik’ dan ‘puan.’ Itu panggilan hormat.
Pelayan: Sekiranya Tuan tidak suka tidak mengapa. Kami tidak pernah orang bersungut mengenai hal ini.

Dialog 4

Pembaikan:

Pembawa acara: MariTuan-tuan dan Puan-puan, mari lihat …..

Sebenarnya pembawa acara dalam siaraya bangunan, tidak menggunakan bahasa baku dan bahasa rasmi. Bahasanya adalah bahasa pasar.

Analisis
Bahasa pasar ialah bahasa yang menggunakan struktur ayat Melayu tetapi perkataan campuran dengan perkataan bahasa pinjaman. Yang paling ketara ialah bahasa pasar menggunakan kata ganti nama asing, iaitu I, you, we all, you all, they all, gua, lu, gua semua, lu semua, dia orang, semua orang, lu orang, kita orang, aya, ane, bai, dll.

Bahasa pasar adalah bahasa orang tidak terpelajar. Atau, digunakan oleh orang terpelajar kepada orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapi dan bahasa rasmi. Ini bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas, dll. Dalam rancangan rasmi melalui televisyen ke seluruh negara, bahasa pasar tidak wajar digunakan. Menggunakan bahasa pasar ini sangat merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:

7. Budaya Melayu memerlukan bahasa yang rapi digunakan dalam suasana rasmi. Bahasa pasar ini tidak ada tempat dalam majlis rasmi.
8. Menggunakan ganti nama bahasa pasar kepada orang datang daripada budaya rendah. Budaya tinggi menuntut bahasa yang rapi.
9. Dengan mengeyou-youkan penonton, pengacara menurunkan semua orang ke taraf mat dan minah rock sahaja.
10. Televisyen adalah saluran rasmi. Bahasa pasar dan bahasa campur-aduk tidak ada tempat dalam saluran rasmi.
11. Tidak menggunakan neka bahasa baku. Dalam suasana rasmi, perkataan dan sebutan pun mesti rasmi, iaitu bahasa baku.
12. Bahasa pasar tidak ada kehalusannya, peri laku penutur bahasa pasar juga akan menjadi kasar dan sumbang. Apabila kita menggunakan bahasa berbudaya tinggi, kita tidak tergamak berkelakuan kasar dengan pelanggan.

Apabila pelayan menggunakan ganti nama you kepada pelanggan, pelanggan merasa tidak dihormati. Malah dia merasakan dia disamakan dengan pelayan remaja yang menyebut dirinya I. Pada pihak pelayan pula, apabila dia menggunakan kata ganti nama you kepada semua pelanggan, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu dia telah berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting. Tanpa pelanggan perniagaan kita tidak ada. Oleh sebab itu pelanggan adalah bertaraf lebih tinggi daripada pelayan. Kita tidak boleh merendahkan mereka dengan mengeyou-youkan mereka. Elakkan perbalahan dengan pelanggan. Ini akan dapat kita buat dengan memanggil mereka Encik, Tuan, Puan, Cik dan Cik Puan. Gugurkan sama sekali ganti nama you dan I.

Apabila kita mahu menggunkan bahasa tinggi buanglah ganti nama pinjanan. Gunakan ganti nama hormat, iaitu: Tuan, Puan, Encik, Cik, para penonton, para pendengar, para peminat, barulah perilaku penutur juga turut berubah.

Dialog 5

Bahasa yang digunakan oleh seseorang mempunyai kaitan rapat dengan karisma penuturnya. Karisma penutur meningkat, yakni kelihatan sebagai orang terpelajar, orang yang berkaliber, dan mampu menguasai keadaan apabila menggunakan bahasa yang terkawal rapi. Seorang pemimpin atau ketua yang menggunakan bahasa campur, gaya bahasa percakapan dalam konteks rasmi adalah kelihatan seperti orang tidak terpelajar! Lihat contoh dialog seorang pemimpin Lembaga Hasil dalam Negeri (Tan Sri Zainol).

Pemimpin: Kebanyakan yang kata susah, tak buka enbelop pun ….. te dia punya fomet, eh senanglah!

Bila kita eksplen, eh senanglah!

Analisis:

1. Sebutan dialek Kedah, adalah bahasa percakapan.
2. Ayat tidak lengkap.
3. Menggugurkan imbuhan.
4. Mencampurkan perkataan Inggeris dalam wacana Melayu dengan sebutan seperti orang tidak bersekolah.
5. Kilihan kata ‘susah’ untuk ‘sukar’.
6. Intonasi seperti orang ‘bersembang.’
7. Tidak menghormati konteks rasmi, iaitu temuramah dalam televisyen awam.

Dialog berbdi bahasa bagi dialog No 4

Pemimpin: Kebabanyakan mereka yang mengatakan (borang cukai pendapatan) itu sukar, tidak membuka sampul suratnya pun!

Sebenarnya borang itu mempunyai format yang sangat mudah. Apabila mereka ditunjukkan format itu, maka barulah mereka sedar bahawa borang itu mudah difahami.

Kemudian, apabila dijelaskan pula, mereka pun terus bersetuju bahawa borang itu sangat mudah difahami.

Nota:

Memanglah, bahasa di atas mudah difahami oleh orang kampung. Oleh sebab otu mungkin bolehlah diguakan bagi menjelaskan borang itu kepada orang kampung, sekiranya mereka membayar cukai pendapatan.

Juga pendengar mendapat kesan yang mereka tidak dihormati. Juga, pegawai yang bercakap begitu di depan khalayak terpelajar, akan memebri kesan negatif bahawa beliau tidak dapat menggunakan bahasa yang baku dan rapi. Dengan kata lain, karismanya juga jatuh.

Faktor Yang Mewujudkan Bahasa Kacukan

Menurut Uriel Weinreicht (1957) yang menulis Languages in Contact, menimbulkan peminjaman, iaitu fenomena bahasa rojak, bahasa sms, bahasa slanga, dll.
Bahasa bertembung melalui beberapa cara:

1. Perpindahan, migrasi, koloni, tawanan perang dibawa ke tempat lain dll
2. Paksaan. Malaysia?
3. Berpindah tempat kerja, dihalau dari tempat asal, kuasa lain
4. Dasar langit terbuka, media bebas, membawa banyak pengaruh tv dll,

Konsep meminjam dalam bahasa berbeza daripada yang kita amalkan. Unsur bahasa yang dipinjam tidak dipulangkan. Ia menjadi sebahagian daripada bahasa yang meminjam. Apakah unsur yang dipinjam:

1. Bunyi, ejaan, sebutan (fekto = faktor, straktor = struktur, dll)
2. Frasa, ayat (ayat pasif dipinjam dpd bahasa Inggeris, lazat restoran?),
3. Kosa kata, istilah: banyak
4. Imbuhan, isme, pra, dll
5. peribahasa: batu loncatan, honeymoon, birthday celebrataion,
6. Unsur tatabahasa: telah = was, unsur jamak = ganda, dll.

Kenapa kita meminjam.

1. Diperlukan (istilah)
2. Memudahkan (berlaku dalam penutur asli bahasa Melayu)
3. Mendapat prestij (mungkin inilah yang menjadi dorongan penutur asli bahasa Melayu apabila meminjam daripada bahasa Inggeris)

Gangguan sistem

Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bahasa, berbilang kelas, berbilang taraf pada hari ini, maka seringlah berlaku maslah komunikasi silang budaya.

Bahasa ada banyak sistem. Sistem panggilan (sapaan) adalah berbeza dalam bebrabagi konteks dan situasi. Sebagai contoh konteks kampung, bandar. pejabat, jual beli, berpidato, bercakap di tv, mempunyai budaya sendiri.

Begitu juga dengan konteks, orang yang dilawan bercakap, rasmi tak rasmi, dll. Bagaiamana bahasa badan digunakan dll.

Baru-baru ini, banyak badan dan organisasi besar dibangunkan. Dari situ timbullah pula konteks baru, iaitu budaya korporat. Ini memerlukan kita menggunakan bahasa rasmi, rapi dan baku. Walau bagaimanapun, kebanyakan penutur Melayu dari luar bandar belum begitu mahir dengan sistem bahasa korporat ini. Bahasa korporat memerlukan penggunaan bentuk panggilan hormat, penggunaan bahasa rapi dan tidak dipendek-pendekkan.

Apabila penutur bahasa Melayu dari kampung masuk ke dalam dunia korporat, maka berlakulah gangguan terhadap penggunaan bahasa ini. Orang kampung menggunakan sistem panggilan kampung dengan memanggil semua orang lelaki lebih tua daripadanya sebagai abang dan lelaki yang lebih tua sebagai pak cik. Peniaga restoran memanggil pelanggannya dengan panggilan kampung, abang, kakak, makcik, dll. Pada hal pelanggannya merasa tidak dihormati apabila dipanggil begitu.

Begitu juga ungkapan bahasa basahan mula mengganggu sistem bahasa rasmi. Bahasa daerah dicampurkan dengan bahasa rasmi.

Sistem ganti nama bahasa Inggeris mengganggu sistem ganti nama Melayu.

Sistem sebutan dialek Kedah, Kelantan, dll mengganggu sistem sebutan bahasa baku.

Sistem kosa kata dan ungkapan dialek seperti jom adalah untuk dialek tersebut. Ia tidak boleh menggantikan marilah mengganggu kosa kata bahasa rasmi.

Ungkapan bahasa remaja seperti sure heboh, blah, balok, awek, adalah sesuai bagi kelompok penutur remaja. Apabila digunakan apabila bercakap dengan orang tua, ungkapan ini menjadi tidak sesuai. Apabila digunakan dalam konteks rasmi seperti dalam transaksi perniagaan, urusan temugga dan mesyuarat rasmi, bahasa ini menjadi biadab. Namum ungkapan remaja ini mula mengganggu bahasa rapi dan bahasa rasmi.

Implikasi

Contoh bahasa kacukan ini sungguh menular luas. Sukar kita menemui pensyarah, pemimpin, dll. yang menguasai bahasa Melayu tinggi. Akibatnya ialah, mereka dipersepsi sebagai orang yang tidak menguasai bahasa Melayu tinggi dengan empurna, dan tidak pula diperspesi sebagai orang yang menguasai bahasa bahasa Inggeris yang mencukupi. Orang yang menguasai bahasa Inggeris yang baik tidak akan mencampurkan bahasanya. Mereka akan langsung berbahasa Inggeris dengan sempurna, kerana mereka mengetahui kemahiran berbahasa Inggeris yang baik itu dikagumi. Lantas, mereka akan mempamerkan penggunaan bahasa Inggeris yang sempurna.

Mereka yang mencapurkan bahasa Melayunya dengan bahasa Inggeris yang patah-patah, dan lazimnya penuh dengan kesilapan, adalah mengharapkan orang mengatakan dia pandai berbahasa Inggeris. Yang jelas ialah, mereka yang mahir berbahasa Inggeris tidak akan mempamerkan lakuan bahasa demikian. Bahasa bercampur adalah bukti penguasaan bahasa Inggeris yang rendah. Buktinya banyak perkataan yang salah digunakan: mereka proaktif (proaktif bagi yang cuma aktif; show off digunakan bagi show up; respected bagi respective, improvise bagi improve – dilakukan oleh pensyarah bahasa Inggeris, kasut seasoned bagi lusuh, dll)

Implikasi Kepada Pengguna Bahasa Kacukan

Setiap orang mempunyai karisma. Cuma ada yang lebih berkarisma tinggi, ada yang berkarisma sederhana dan ada yang berkarisma rendah.

Ada banyak ciri karisma. Ketua ajaran sesat seperti Ashaari mempunyai karisma tinggi. Sedangkan Ayah Pin pun mempunyai karisma. Oleh sebab itu mereka mempunyai pengikut. Karisma mempunyai banyak ciri, iaitu:

Pakar: kredibel
Telus: tanpa dusta
Citra: paras, pakaian
Kemahiran berbahasa: lancar, fasih, terpelajar
Bertenaga: aktif
Tubuh: Tinggi

Dalam artikel ini kita melihat hanya ciri kemahiran berbahasa. Bahasa yang digunakan oleh seorang penutur, pensyarah, pemimpin adalah berkaitan dengan kemampuannya memujuk atau meyakinkan orang. Ringkasnya, mereka yang mempunyai kemahiran berbahasa yang lancar, lenkap, terpelajar, akan dipersepsi sebagai pemimpin yang baik. Ini sanagt penting bagi membentuk karisma seorang pemimpin.

Bekas pesiden Amerika Syarikat, Tuan Jimmy Carter terpaksa belajar bahasa yang baik bagi menjalankan tugasnya sebagai pemimpin, lebih-lebih lagi bagi menyampaikan ucapan. Bekas perdana menteri Malaysia juga dikatakan pernah menggunakan kepajaran perunding bagi menyampaikan pidato dengan baik dan berkesan. Ada prinsip-prinsip mempengaruhi hadirin. Bahasa yang lancar, bergaya, berkuasa, dan lengkap, adalah:

a. lebih meyakinkan dan persuasif
b. meninggikan kepercayaan hadirin
c. bahasa lelaki (tanpa keamatan)
d. bahasa korporat, lebih berkuasa
e. berkarisma.

Bandingkan bahasa yang digunakan oleh seniman seperti Jins Shamsudin dengan bahasa Chef Wan (termasuk latah-latahnya), bahasa Anwar Ibrahim dengan bahasa Abdullah Badawi, bahasa pengacara televisyen Malaysia dengan pengacara televisyen Malaysia. Kita akan mendapat gambaran yang jelas mengenai peranan bahasa yang digunakan dan karisma penuturnya.

Begitu jugalah, penutur bahasa kacukan akan dipersepsi sebagai tidak berkarisma, iaitu:

a. tidak berilmu, bukan pakar (pengungkapan ilmu memerlukan bahasa tinggi, ilmu dan idea dalam bahasa kacukan tidak kelihatan keilmuwannya)
b. tidak mahir menggunakan bahasa (pandai bercakap dipandang tinggi dalam budaya Melayu, seperti orang kampung dan tidak bersekolah)
c. tidak serius, seperti main-main apabila bercakap
d. tidak bijaksana (malah bahasa kacukan tidak boleh serius, dijadikan bahan ketawa dan makar)
e. menurunkan taraf atau tidak menghormati majlis dan hadirin
f. belum habis berfikir, atau tidak berfikir sudah bercakap.
g. kepimpinan yang lemah, tidak mempunyai kuasa persuasif.

Sebagai kesimpulannya, bahasa kacukan bukanlah bahasa budaya tinggi. Penuturnya dengan sendirinya menurunkan tarafnya kepada taraf orang tidak terpelajar, tidak berbudaya tinggi, main-main, tidak serius, tidak menghormati majlis dan pendengarnya. Penutur bahasa kacukan menurunkan karisma penuturnya.

Bibliografi

Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (1997), Daya Pengaruh dan Perubahan Sikap, Kuala Lumpur: UP&D.

DeVito, J.A. (1988), Human Communication, New York: Harper & Row Publishers.

DeVito, J.A. (2001), The Interpersonal Communication, New York: Longman.

Emmert, P. & Emmert V.J. Lusako (1976), Intrepersonal Communication, Dubuque, Iowa: Wm. C. Brown Publishers.

Fisher, A.B. & Adams, K.L. (1994), Interpersonal Communication, Singapore: McGraw-Hill Book Co.

Johannesen, J (1990), Ethics in Human Communication, Prospect Heights: Waveland Press Inc.

Knapp, M.L. & Vangelisti, A.L. (2000), Interpersonal Communication and Huan Relationship, Boston: Allyn and Bacon.

Samovar, L.A. & Porter, R.E. (1997), Intercultural Communication, Belmont: Wadsworth Publishing Company.

Shopen, T. (1979), Languages and Their Status, Cambridge, Massachussetts: Winthrop Publishers Inc.

Trenholm, S. & Jensen, A. (1992), Interpersonal Communication, Belmont, California: Wadsworth Publishing Company.

Verderber, R.F. & Verderber, K.S., (1995), Inter-Act Using Interpersoal Communication Skills, Belmont: Wadsworth Publishing Company.

Whitman, R.F. & Boase, P. H. (1983), Speech Communication, New York: McMillan Publishing Co Inc.

2 Komen »

  1. 1)apakah impak / kesan kepada bangsa melayu jika kecelaruan dalam bahasa terus berlaku jika tidak di bendung?
    2)apakah aspek-aspek yang mendorong pengguna bahasa melayu mengaplikasikan bahasa seperti bahasa rojak,slanga dan dialek dalam komunikasi harian???

    Komen oleh muhammad haniff | 13/06/2011 | Balas

  2. 1)
    Wujud dan bangkitnya bangsa kerana bahasa. Gahnya bahasa kerana bangsanya berasa gah apabila menggunakannya. Kalau diimbau sejarah masa lalu, bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca bukan sahaja di rantau Nusantara, justeru turut tersebar dan diketahui hingga ke dunia Barat. Hal ini terbukti melalui surat-menyurat raja-raja Melayu kepada pemimpin/raja di negara Barat (Eropah terutamanya).Contohnya surat Sultan Acheh kepada King James 1 pada 1612 apakah pandangan masyarakat dunia kepada bangsa Melayu dan Tanah Melayu ketika itu? Dek kerana majunya bahasa Melayu ketika itu, berkembangnya pelbagai ilmu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai medianya; bidang keilmuan & pendidikan, agama, sastera, budaya, perniagaan, undang-undang & pentadbiran serta perhubungan antarabangsa. Collins T. J. mengemukakan bukti bahawa saintis Amerika pada abad ke-19, perintis teori evolusi bersama Darwin dan ahli zoologi moden, Alfred Russel Wallace, melaporkan bahawa berbagai-bagai diskusi sastera, ilmu sains dan falsafah yang diadakannya dengan Dr. Arndt, warga Jerman yang bertugas di Kupang (Timor) pada 1857 menggunakan bahasa Melayu!
    Ironinya, penutur bahasa Melayu sekarang bukan begitu sikapnya terhadap bahasa sendiri (bahasa ibunda mereka), malah dalam sesetengah situasi bahasa Melayu menjadi bahasa kedua mereka sedangkan asal keturunan mereka 100 peratus MELAYU; apatah lagi mereka yang hanya 50-50. Apa impaknya? Cubalah anda terbalikkan pernyataan dan penjelasan saya di atas dan bandingkan dengan situasi dan kedudukan bahasa Melayu sekarang, khususnya di ‘Tanah Melayu’

    2) Mengapa fenomena ini boleh berlaku? Pada pandangan saya, semuanya bertitik tolak daripada SIKAP penutur bahasa Melayu itu sendiri, khususnya penutur jati yang bahasa ibundanya ialah bahasa Melayu. Kalau dilihat urutan peristiwanya bolehlah dibuat begini:
    i. Sistem pentadbiran negara (melibatkan pemerintah)
    Pemerintah memainkan peranan penting dalam arah tuju perkembangan bahasa kebangsaan. Setiap dasar yang dilaksanakan seharusnya mengambil kira kepentingan bahasa kebangsaan. Hal ini boleh diambil contoh dari negara-negara yang maju yang menjadikan bahasanya satu keutamaan yang tidak ada komprominya seiring dengan kemajuan dalam bidang-bidang lain seperti Jepun, Korea, Perancis, Jerman, malah Israel. Selama ini kita hanya melihat kemajuan negara-negara tersebut dalam aspek lain, bukan bahasanya. Israel dan Jepun misalnya, mereka membina keruntuhan bangsa dan negara mereka dengan memperkukuh bahasa mereka terlebih dahulu. Jepun bangkit daripada kemusnahan perang dengan mempelajari teknologi asing dan disebarkan melalui bahasa mereka sendiri, bukan bahasa asing. Bangkitnya Yahudi sehingga terbinanya negara Israel juga melalui penghidupan semula bahasanya yang hampir musnah akibat penangan Nazi. Lihatlah pula pemimpin Perancis, Jerman, Jepun, dan Korea yang tidak segan menuturkan bahasa ibunda mereka di mana-mana jua dan apa-apa jua majlis. Kita?

    ii. Sistem pendidikan negara
    Pendidikan merupakan asas dalam apa-apa jua ilmu, apatah lagi bahasa. Dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu jelas menyebut bahawa “bahasa kebangsaan negara ini adalah bahasa Melayu…”. Oleh hal yang demikian, bahasa pengantar di mana-mana institusi pendidikan seharusnya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Tiada apa-apa alasan yang boleh mengubahnya. Perkara ini sepatutnya tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, tetapi sekarang perkara sebaliknya berlaku. Akibatnya, timbullah isu PPSMI dan pelbagai isu lagi (agak sensitif jika saya sebutkan di sini. Takut berlaku salah faham dan dipolitikkan). Inilah antara sebab wujudnya bahasa sekerat ular sekerat belut yang menjadi isu negara sekarang.

    iii. Perkembangan media massa & teknologi maklumat (tiada sekatan)
    Arus pembangunan dan globalisasi media massa dan teknologi tidak dapat dielakkan. Munculnya internet yang terkandung pelbagai aplikasi komunikasi sesungguhnya memudahkan manusia. Hal ini tidak boleh dipertikaikan. Ironinya, bahasa menjadi korban yang tidak disedari (atau sengaja untuk tidak disedari). Akhirnya, wujudlah bahasa ringkas yang ‘cacamarba’ sifatnya yang hanya difahami oleh sekumpulan penggunanya sahaja. Isu inilah yang menjadi polemik dalam media baru-baru ini.

    iv. Amalan & budaya masyarakat & kemasyarakatan
    Manusia tidak dapat lari daripada hidup bermasyarakat. Di dalamnya terkandung budaya yang telah sekian lama mendarah daging dalam sosialisasi mereka. Sifat bahasa Melayu yang mudah lentur datangnya daripada sikap penutur bahasa Melayu (orang Melayu) yang juga mudah lentur bagi memudahkan komunikasi, terutamanya dengan bukan penutur jati. Dengan itu wujudlah bahasa pasar kerana adanya masyarakat majmuk di negara kita; dan pengaruhnya amat kuat sehingga penurut jati bahasa Melayu terikut-ikut gaya pengucapan dan pertuturan orang Cina dan India. Hal inilah pada pandangan saya menyebabkan masyarakat Cina dan India tidak boleh menuturkan bahasa Melayu dengan betul. Cuba kita bercakap dengan anak-anak yang pelat dan telor dengan menggunakan bahasa pelat dan telor seperti mereka. Apakah yang akan berlaku? Pastinya mereka akan pelat dan telor sehingga besar. Begitulah juga yang berlaku dalam hal ini.

    Wallahualam…

    Komen oleh aswiza | 13/06/2011 | Balas


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: